Selasa, 27 September 2011
mencari matahari..
Off day.
Barangkali sumpahan, atau barangkali memang kerana dosa bertahun-tahun yang saya kumpul, hari ini berulang peristiwa.
Batang kayu saya lempar ke lantai, selepas separuh hati membelasahnya. Saya kira doa adalah sebaik-baik senjata untuk manusia lemah seperti saya, tapi entah mengapa, jalan itu yang saya pilih demi untuk melangsaikan sakit hati.
Saya tidak berdendam dengan tuhan, malah, mana mungkin saya mahu menambah dosa, menyalahkan kuasa paling sempurna di muka bumi, tapi khilaf diri meletakkan saya seperti hari ini.
Pause.
Saya masih menangis ketika menulis yang ini. Jiwa saya seperti mati. Tiada apa lagi yang mahu saya kejar sampai hari ini. Sungguh mati saya rasa hilang semangat untuk hidup. Bagaimana mahu saya perjelaskan semuanya?..
Saya bekerja siang malam macam anjing demi untuk menjalankan tanggungjawab membesarkan anak-anak, juga demi untuk melangsaikan dendam lama saya setelah sekian tahun menjadi manusia bangsat di mata khalayak.
Bumi yang saya pijak kini, terasa seperti mahu menelan seluruh jasad yang tak lagi berjiwa. Saya mahu menyembah tuhan, seperti manusia beriman yang lain. Dan saya perlukan petunjuk yang jelas. Bagaimana mahu saya realisasikan semuanya ketika manusia lain hanya selesa menuding jari menyalahkan?...
Saya masih terbayang batang kayu yang saya genggam kejap ketika membelasahnya siang tadi. Di celah esak tangis, saya mencari sisa kasih sayang. Saya mencari adilkah kuasa veto yang saya guna buat menyedarkan dirinya bahawa luka yang dia tinggalkan sebulan lalu masih berdarah?...
Maafkan ibu, sayang...
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan