Jumaat, 30 September 2011

malam tanpa bulan

Kosong!


Empat hari bercuti, separuh dari jiwa kembara entah ke mana. Saya penuhkan masa dengan tidur, makan tanpa henti. Menjelang malam, dvd jadi teman. Habis semua kisah yang ada dalam simpanan saya tonton berulang-ulang. Ada rasa bosan, tapi saya manusianya masih ingin hidup.


Prison Break! 



Kali akhir kisah ini saya tonton ketika cuba memujuk jiwa yang luka kerana ditinggalkan. Lelaki terakhir yang ajar saya tentang kenyataan. 


Ironi bukan?


GC, mungkin aku patut berdendam pada kamu. Tapi aku akur, yang terbaik telah menang, dan kamu perempuan yang terbaik itu. *Sigh*


Pause.


Hari terakhir bercuti, saya habiskan masa di pawagam. Dua filem satu hari masih belum memuaskan hati yang buntu. Lunch di KFC, dinner di Mc D, dan sekarang, masih menunggu teman usai tugas. Supper dengan Penang Char Koay Teow tentunya.


Pause.


Saya masih di Mc D, cuba menyelesaikan masalah starter pack YES yang saya beli siang tadi. Rasa macam tertipu. Lebih empat jam masih belum berfungsi. Install, uninstall berkali-kali.


Argghhhhh!!!...


Rupa-rupanya, tawa yang hadir siang tadi hanya seketika. Dan sekarang, saya kembali sunyi. 


Sepi yang tak indah.



Selasa, 27 September 2011

secangkir kopi pahit

Starbucks Coffee.


Saya masih di sini sejak petang tadi. Menilai perkara yang telah terjadi. Saya di sini, sesekali disapa sahabat yang sedang bekerja. Dia, dalam sibuk masih cuba memberi damai. Saat ini, saya cuma perlukan seseorang untuk bercerita, dan mujur dia ada.


"Kau tak perlu rasa kesal dengan apa yang dah kau buat. Dia perlu diajar tentang kenyataan." 


Jujur, separuh dari jiwa rasa mahu tenang, dan membuang rasa kesal sejauh mungkin. Tapi separuh dari jiwa, mungkin kerana dia yang saya belasah siang tadi adalah darah daging yang pernah saya bawa selama sembilan bulan dalam rahim sendiri, naluri sebagai ibu menyentak-menyentak jiwa. Menghimpun rasa kesal yang tak sudah.


"Bercakap baik-baik dengan dia. Bawa berbincang..."


Kali akhir pertemuan, lelaki itu mengajar saya supaya berfikir waras. Dan kali akhir pertemuan, saya telan payah yang sama. Bertanya pada diri, sayakah yang bersalah?...


Kata Bonda, cinta di hujung sejadah yang perlu saya tadah. Dan perlukah saya salahkan Bonda kerana tak pernah memberi saya didikan agama yang secukupnya ketika saya masih anak-anak?..Saya benci menyalahkan. Kerana sejak dulu saya percaya, kita, adalah apa yang kita pilih. 



mencari matahari..



Off day.


Barangkali sumpahan, atau barangkali memang kerana dosa bertahun-tahun yang saya kumpul, hari ini berulang peristiwa. 


Batang kayu saya lempar ke lantai, selepas separuh hati membelasahnya. Saya kira doa adalah sebaik-baik senjata untuk manusia lemah seperti saya, tapi entah mengapa, jalan itu yang saya pilih demi untuk melangsaikan sakit hati.


Saya tidak berdendam dengan tuhan, malah, mana mungkin saya mahu menambah dosa, menyalahkan kuasa paling sempurna di muka bumi, tapi khilaf diri meletakkan saya seperti hari ini.


Pause.


Saya masih menangis ketika menulis yang ini. Jiwa saya seperti mati. Tiada apa lagi yang mahu saya kejar sampai hari ini. Sungguh mati saya rasa hilang semangat untuk hidup. Bagaimana mahu saya perjelaskan semuanya?..


Saya bekerja siang malam macam anjing demi untuk menjalankan tanggungjawab membesarkan anak-anak, juga demi untuk melangsaikan dendam lama saya setelah sekian tahun menjadi manusia bangsat di mata khalayak.


Bumi yang saya pijak kini, terasa seperti mahu menelan seluruh jasad yang tak lagi berjiwa. Saya mahu menyembah tuhan, seperti manusia beriman yang lain. Dan saya perlukan petunjuk yang jelas. Bagaimana mahu saya realisasikan semuanya ketika manusia lain hanya selesa menuding jari menyalahkan?...


Saya masih terbayang batang kayu yang saya genggam kejap ketika membelasahnya siang tadi. Di celah esak tangis, saya mencari sisa kasih sayang. Saya mencari adilkah kuasa veto yang saya guna buat menyedarkan dirinya bahawa luka yang dia tinggalkan sebulan lalu masih berdarah?...


Maafkan ibu, sayang...





Rabu, 21 September 2011

ombak deras

Mind to buy me a cup of coffee tonite?...


Pause.


Ogos, bumi basah dengan hujan. menjelang hari besar esok lusa. Ombak deras memukul tebing seperti menyatakan dendam semusim. Ya, saya rindu mahu memeluknya. Lelaki yang datang dan pergi semahu hatinya...cuma malam ini...arhhhh!...


Pause.


Ketika melihatnya sekali ini, saya merasakan debar yang panjang. Ada keliru yang bercambah. Ada tanya yang mahu saya luahkan. Ada rindu yang mahu saya kongsi dengannya, tapi ternyata semua rasa itu hanya bergumpal dalam dada. Saya seperti takut apa yang saya lalui ketika itu hanya mimpi (seperti selalu) yang hadir pada waktu 'puncak' dan meninggalkan saya dengan dendam tak sudah..


Pause.


Saya mendengar suaranya, kusyuk dalam jiwa. Cuba meladeni hati sendiri. Antara kami, meski jiwa dan jasad sering bersatu, masih ada yang terbatas di situ. Empat tahun, saya sering bertanya sampai bila perhubungan ini akan berlangsung?...dan kerapkali mengherdik rasa rindu yang memintanya agar selalu di sisi. Saya tahu mustahil. tapi yang mustahil itulah selalu mengujakan saya..