Starbucks Coffee.
Saya masih di sini sejak petang tadi. Menilai perkara yang telah terjadi. Saya di sini, sesekali disapa sahabat yang sedang bekerja. Dia, dalam sibuk masih cuba memberi damai. Saat ini, saya cuma perlukan seseorang untuk bercerita, dan mujur dia ada.
"Kau tak perlu rasa kesal dengan apa yang dah kau buat. Dia perlu diajar tentang kenyataan."
Jujur, separuh dari jiwa rasa mahu tenang, dan membuang rasa kesal sejauh mungkin. Tapi separuh dari jiwa, mungkin kerana dia yang saya belasah siang tadi adalah darah daging yang pernah saya bawa selama sembilan bulan dalam rahim sendiri, naluri sebagai ibu menyentak-menyentak jiwa. Menghimpun rasa kesal yang tak sudah.
"Bercakap baik-baik dengan dia. Bawa berbincang..."
Kali akhir pertemuan, lelaki itu mengajar saya supaya berfikir waras. Dan kali akhir pertemuan, saya telan payah yang sama. Bertanya pada diri, sayakah yang bersalah?...
Kata Bonda, cinta di hujung sejadah yang perlu saya tadah. Dan perlukah saya salahkan Bonda kerana tak pernah memberi saya didikan agama yang secukupnya ketika saya masih anak-anak?..Saya benci menyalahkan. Kerana sejak dulu saya percaya, kita, adalah apa yang kita pilih.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan